CERPEN-CINTA HATI MAMA


Image result for love you mama
“Hanna sayang. Jangan pergi sana. Kotor nanti baju tu.” Panggilan Puan Mariam menghentikan sejenak langkah si kecil Hanna yang sedang mengejar seekor anak katak.
Terkedek-kedek dengan langkahnya yang kecil cuba menyaingi lompatan si katak hijau.
Langkah kaki kecil itu terhenti dan berpusing menghadap ke arah mamanya.
Lantas berlari masuk ke dalam dakapan mamanya. Puan Mariam tergelak dengan telatah anak kecilnya.
“Hanna masuk mandi dulu. Busuklah anak mama ni. Tak lama lagi papa dah nak balik. Boleh kita makan sama-sama”. Kata Puan Mariam sambil mencuit hidung mancung anaknya.
“Hahahhahaaaa...”
Ketawa manis seorang kanak-kanak memecah lamunan siang Puan Mariam. Dia yang terkejut serta-merta menoleh ke arah bunyi itu.
Sebuah pondok usang.
“Ya Allah...”
Puan Mariam berjalan perlahan-lahan menuju ke pondok usang itu. Pondok yang sudah uzur dan jika diduduki lebih lima orang barangkali akan runtuh serta-merta.
“Pondok usang inilah yang menyimpan banyak kenangan aku”. Detik hati Puan Mariam.
Masih jelas di ingatannya tatkala suaminya, Encik Megat keluar sahaja daripada perut kereta,pasti akan disambut oleh anaknya, Hanna. Lantas si kecil itu dikendong sambil berlari anak mengelilingi pondok yang masih utuh saat itu. Pondok itu juga menjadi saksi betapa bahagianya keluarga Puan Mariam.
Tetapi,itu adalah 12 tahun lepas.
Sungguh,lamunan Puan Mariam sudah menjangkaui 12 tahun dahulu.
Kini,ia sungguh berbeza.
“Berbeza disebabkan aku”. Cantas kata hati Puan Mariam.


Satu tahun yang lepas.
“Mama,mama nak pergi mana maghrib macam ni? Tak eloklah keluar malam”. Kata Hanna dengan lembut sambil menunduk ke bawah,takut dimarahi mamanya.
“Ah,Hanna tak payah ambil tahu fasal mama boleh tak. Suka hati mamalah nak keluar,balik ke masa mana pun. Hanna tak ada hak untuk tegur mama. Ingat tu!”. Cantas Puan Mariam sambil menghempas kuat pintu kereta Myvi putihnya.
Setitik air mata Hanna gugur kerana dimarahi mamanya.
Hanna, anak tunggal Puan Mariam. Di lahirkan dalam suasana keluarga yang amat bahagia. Hari-hari yang dilalui Hanna semestinya berbunga indah. Malangnya,semua itu hanya bertahan seketika sahaja. Ditakdirkan Allah,ayahnya meninggal dunia di saat Hanna masih memerlukan kasih sayang seorang ayah. Kepergian ayah tersayang ketika berusia lewat 15 tahun membuatkan hidup Hanna terumbang-ambing.
Jika diikutkan hati mudanya,kecewa yang dilalui sukar di sembuhkan. Tetapi tidak bagi Hanna. Pada usia remaja yang sedang membesar, Hanna kuatkan dirinya setelah melihat betapa lemahnya Puan Mariam dalam mengawal emosi.
Kematian suami tersayang barangkali mengejutkan Puan Mariam yang masih memerlukan kasih sayang seorang suami. Kepergian Encik Megat membuatkan hidup Puan Mariam seratus peratus berubah. Daripada seorang yang taat pada agama,penyayang,dalam sekelip telah berubah menjadi seorang yang langsung Hanna tidak kenal. Puan Mariam mula bersosial,pulang lewat malam,sudah tidak lagi bertudung bahkan telah melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.


“Hanna,kau mesti sabar. Aku tahu kau kuat Hanna. Kau kena ingat Allah swt menguji hambanya sebab Dia tahu hambaNya mampu. Dia tahu kau mampu hadapi ini semua Hanna. Kau kena ingat kau tak keseorangan. Aku ada Hanna. Allah ada. Kau kena ingat semua tu.” Nasihat Nabilla kawan rapat Hanna sambil mengusap bahu sahabatnya yang sedang menangis.
Celah rak buku di hujung sudut di perpustakaan sekolah menengah itu menjadi saksi betapa banyak air mata Hanna yang sudah tercurah.
Apa pun,Hanna masih tetap bersyukur kerana tidak pernah lagi dia menumpahkan air berharga itu keseorangan. Dia masih punyai seorang sahabat yang sangat baik,Nabilla.
Nabilla,anak salah seorang guru di sekolah Hanna. Seorang sahabat yang tidak pernah meninggalkannya di waktu susah mahupun senang.
“Terima kasih Nabilla. Aku tahu. Tapi aku tak tahu kenapa air mata ni tak nak berhenti jatuh. Aku dah penat menangis.”
Ujar Hanna sambil menyapu air matanya yang gugur dengan tisu yang sudah mulai hancur dek air matanya.
“Hanna,tak salah kita menangis. Kau tak boleh pendam seorang diri. Kau perlu meluahkan. Walaupun bukan dengan aku, tetapi dengan Allah swt.” Nasihat Nabilla dengan lembut.  
 “Nabilla,kau tahukan apa harapan aku. Aku takut aku tak sempat tengok mama macam dulu. Aku takut sangat.”
“Hanna..kau jangan cakap macam tu. Aku tak sukalah. Apa ni Hanna.” Raut wajah Nabilla sudah berubah. Jantungnya berdegup kencang.
“Maaflah Nabilla. aku janji tak buat lagi. Hehehhe.”
Janji Hanna sambil tersenyum.
Raut wajah Hanna sudah kembali kepada wajah asalnya. Seorang yang tidak pernah lekang dari senyuman.
“Macam ni lah Hanna aku. Sentiasa tersenyum. Aku tak nak tengok kau sedih lagi eh? Aku nak tengok lesung pipit ni je.”
“Janji jangan buat lagi eh ?” Soal Nabilla sambil mencubit pipi montel Hanna.
“Sakitlah....aku tahu lah yang aku ni comel.”
“Iya..aku janji tak buat lagi.”
“haahahahaaa.”
Hanna mula ketawa seperti sebelumnya. Namun,hanya Tuhan yang tahu gelodak hatinya.
“Hanna..aku tak nak tengok kau sedih lagi. Aku turut sakit Hanna. Aku mohon kau terus kuat. Aku tak kuat tengok kau sedih. Aku tak sedia lagi kehilangan kau Hanna. Ya Allah kuatkan sahabat aku. Aku ingin sekali melihat dia bahagia.” Doa hati kecil Nabilla.
Bukan sekadar kawan,tetapi Hanna merupakan sahabat yang paling dicintainya. Ukhwah yang terjalin dari sekolah rendah mana mungkin dapat terpadam begitu sahaja. Ikatan ini adalah ikatan suci yang terjalin atas rahmatNya. Di harap ikatan ini terus berpanjangan hingga ke syurga.
Walaupun bukan dia yang merasa sakit itu, dia terlalu faham apa yang dilalui oleh Hanna.


“Assalamualaikum mama.”
Hanna membuka pintu untuk mamanya yang sedang terhuyung hayang akibat mabuk.
Tangan dihulur untuk bersalam namun hanya disapa oleh angin. Hanya bau busuk arak sahaja yang menusuk hidung Hanna.
Puan Mariam hanya berjalan terus ke kamarnya tanpa menoleh sedikit pun pada puteri tunggalnya.
“Mama...”
“Mama..kenapa mama jadi macam ni..” suaranya sudah serak.
Belum pernah lagi mamanya pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebegini. Hanna tidak sangka Puan Mariam sudah berani meneguk minuman syaitan itu.
Hanna mengekori Puan Mariam ke arah biliknya. Hanna mencapai lembut lengan mamanya. Puan Mariam berpaling,lantas ditolak tubuh Hanna ke tengah ruang tamu.
Tubuh Hanna yang sememangnya lemah jatuh tersungkur.
“Mama..sakit.” luluh Hanna sambil mengurut lututnya yang sudah lebam.
Puan Mariam meneruskan langkahnya tanpa berpaling walaupun sedikit. Dibiarkan Hanna yang sedang merintih kesakitan keseorangan.
“Mama..kenapa buat Hanna macam ni? Apa salah Hanna dekat mama?” rintih hati kecil Hanna.
Hanna bangun perlahan-lahan dan menuju ke biliknya. Tubuhnya dihempas ke atas katil dan dibenamkan mukanya ke bantal. Dia tidak menangis. Dirinya sudah terlalu letih untuk menangis. Hanna penat. Hanna lelah.
Dibisikkan perlahan-lahan ke dalam dirinya.
“Hanna tak benci mama. Hanna hanya benci sikap mama. Hanna sentiasa berharap mama akan berubah suatu hari nanti dan Hanna yang akan ubah mama.”
Perlahan-lahan mata sepet itu bertambah kuyu. Lalu terlelap dalam kesedihan yang kian menggunung.
Segala tugasan di rumah diambil alih oleh Hanna setelah mamanya berubah. Puan Mariam langsung tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
Memasak,membasuh,mengemas dan segalanya berada di bawah tanggungjawab Hanna.
Kedengaran enjin kereta Puan Mariam dimatikan. Pintu kereta dihempas kuat. Dirasakan setiap kali menjejakkan kaki ke rumah itu bagaikan neraka bagi Puan Mariam. Oleh sebab itu dia tidak pernah lama di rumah. Selalu sahaja keluar berfoya-foya setiap waktu.
Hanna lekas-lekas menyaji makanan di atas meja untuk santapan Puan Mariam.
Di  sambut mamanya di muka pintu. Sekali lagi tangan yang dihulur di biar disapa angin lalu. Perlahan-lahan Hanna menarik kembali tangannya.
“Mama. Jom makan. Hanna dah hidangkan. Hanna masak spesial malam ni. Ketam masak lemak. Mama suka kan. Jom mama.” Ajak Hanna sambil melangkah ke dapur.
“Tak payah. Aku dah makan.” Jawab Puan Mariam tanpa menoleh dan terus menuju ke biliknya.
Hanna hanya terdiam.
Di ambil pinggan dan diisi dengan nasi dan lauk. Hanna makan bertemankan kepedihan hati yang semakin membuak-buak. Dadanya terlalu sebak.


Genggg!!!
Bunyi hempasan pintu bilik yang kuat mengejutkan Hanna yang sedang membasuh pinggan di sinki. Tangan dibasuh dengan laju dan terus meluru keluar ke arah Puan Mariam yang sedang membuka pintu utama.
“Mama..mama nak keluar lagi ke? Jangan la keluar malam ni mama. Duduk dekat rumah je teman Hanna eh?” pujuk Hanna dengan lembut sambil merenung Puan Mariam dari atas ke bawah.
Puan Mariam yang mengenakan kemeja biru yang nipis menampakkan susuk tubuh,berskirt pendek paras lutut dengan mekap yang teramat tebal merenung Hanna dengan mata yang garang.
“Kau ingat kau tu budak lagi nak suruh aku teman segala bagai?”
“Kenapa? Kau tak suka aku pakai macam ni?” tengking Puan Mariam dengan suara yang lantang.
Belum sempat Hanna bersuara, tangan Puan Mariam dengan laju hinggap ke pipi mulus  Hanna.
Gadis itu terpana.
Terpaku.
Sunyi seketika ruangan itu. Hanya kedengaran putaran kipas.
Hanna terdiam.
Hanya suara hempasan pintu yang kembali menyentap sanubari Hanna.
“Mama..”‘
Pandangan matanya tiba-tiba kelam.
Lantas tubuh kenit itu jatuh ke lantai.
Hanna pengsan.


“Hoi Hanna. Kenapa tidur kat sini? Dah takde bilik ke?” jerkahan Puan Mariam mengejutkan tidur Hanna.
Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Dipandang mamanya yang baru pulang. Kelihatan rakan Puan Mariam ada di sisi mamanya menuju ke bilik utama.
Hanna berjalan perlahan-lahan ke dalam biliknya.
“Nasib baik hujung minggu. Kalau tak,tak sekolah Hanna.” Hanna bermonolog sendiri.


Pada waktu petang seperti yang dijanjikan, Hanna dan Nabilla keluar untuk mencari hadiah buat Puan Mariam memandangkan hari lahirnya semakin hampir.
“Nabilla,cantikkan selendang ni.” Selendang hijau itu di hulur kepada Nabilla.
Disambut dan dibelek penuh minat.
“Betul lah. Cantik sangat. Memang sesuai sangat dengan mama Hanna.” Puji Nabilla sambil menoleh ke arah Nabilla.
Wajah pucat Hanna diusap lembut.
“Hanna, kau pucat sangat ni. Makan ubat tak sebelum keluar?” tanya Nabilla dengan risau.
“Makan. Mungkin letih kut.” Celah Hanna.
“Sebenarnya Hanna sudah kehabisan ubat. Maafkan Hanna sebab tipu Nabilla.” Desis hati kecil Nabilla.
“Dahlah,jom balik. Risau pulak aku tengok.”
“Kejap yea. Aku bayar kejap.”


“Mama..selamat hari lahir.”
“Hanna ada hadiah untuk mama. Nah.” Hanna menghulurkan beg kertas berwarna pink kepada Puan Mariam.
Puan Mariam yang sedang bersolek hanya memandang tanpa memberi sebarang respon.
“Mama.” Panggil Hanna lagi.
Puan Mariam menjeling sambil merenggut beg kertas itu.
“Sibuk betul!” sergah Puan Mariam.
Beg kertas itu dibuka dan dicapainya selendang hijau tersebut. Hanya dibelek 2-3 saat lantas dicampak ke tepi dinding.
Hanna terpaku.
Selendang itu di kutip dan dicium sambil menangis.
“Mama..mama tak suka ke? Warna hijau ni. Hanna tahu mama suka warna ni.” Pujuk Hanna sambil menangis. Direnung wajah mamanya pada pantulan cermin.
Soalannya hanya di biar dibawa angin. Puan Mariam bergegas keluar dari bilik itu.
Hanna kecewa. Terlalu kecewa. Namun hanya disimpan rasa itu.


“Nabilla, bolehlah. Aku nak main jugak. Sekali ni je. Boleh eh?” Hanna memujuk Nabilla supaya membenarkannya turut serta dalam permainan bola tampar pada waktu PJ nanti.
“Tak bolehlah Hanna. Kau tak sihat lagi.” Nasihat Nabilla lagi.
Namun,setelah dipujuk berkali-kali Nabilla terpaksa akur dengan permintaan sahabat baiknya.
Hanna yang sedang asyik bermain tiba-tiba jatuh pengsan. Bagai halilintar menyambar hati Nabilla tatkala melihat Hanna rebah.
Hanna terus dibawa ke hospital dan dimasukkan ke dalam ICU lantaran keadaannya yang semakin tenat.
Nabilla menangis sepuas-puasnya di sisi katil Hanna. Menyesal kerana membenarkan Hanna turut serta. Namun,semua ini sudah tertulis.
Hanna tidak sedarkan diri sehinggalah keesokan paginya. Nabilla lega melihat Hanna sudah membuka mata dan mampu bersuara walaupun dalam keadaan lemah.
Tapi, gelodak hati Nabilla hanya Tuhan yang tahu. Petang semalam,Nabilla dan keluarganya dimaklumkan berita yang mengejutkan daripada doktor yang merawat Hanna.
Kenyataan Hanna yang sudah lama tidak memakan ubat akibat kehabisan dan penyakit yang dirahsiakan dari mamanya sudah membuatkan lutut Nabilla bergetar.
Namun,berkenaan jangka hayat Hanna yang keluar dari mulut doktor muda itu membuatkan Nabilla jatuh terjelopok. Kata-kata itu bagaikan duri yang menusuk tajam ke dasar hati.
Nabilla terkejut.
Jangkaan doktor,Hanna hanya ada 3 bulan lagi untuk hidup. Sebarang pembedahan juga sudah tidak dapat dilakukan lantaran dirinya yang terlalu tenat. Kini,doktor hanya mengharapkan kekuatan dirinya untuk melawan sakit itu.


Tiga hari sudah berlalu. Puas dipujuk Nabilla untuk memaklumkan kepada Puan Mariam namun ditegah oleh Hanna. Nabilla juga merasa terkesan dengan Puan Mariam yang langsung tidak dapat menghidu penyakit anak tunggalnya.
Hari keempat Nabilla nekad menghubungi Puan Mariam lantaran keadaan Hanna yang semakin tenat.


Manakala di rumah Puan Mariam.
“Mana perginya budak ni. Dah pandai tak balik rumah.” Bentak Puan Mariam dan membuka pintu utama untuk keluar bertemu rakannya.
“Kringg...kring....” telefon jenama Samsungnya ditarik keluar dari dalam poket seluar jeansnya.
“Assalamualaikum mak cik.”
“Sape ni?” tanpa menjawab salam Puan Mariam terus main sergah. Kedengaran suara anak gadis di corong telefon bimbitnya.
“Mak cik,ni Nabilla. Kawan Hanna.” Tutur Nabilla dengan hemah.
“Aku tak kenallah. Apahal pulak kau telefon aku? Cari budak bertuah tu ke? Kau jangan tangan aku. Aku dah tak nak ambil tahu fasal budak tu.” Marah Puan Mariam.
Setiap bait kata Puan Mariam mengejutkan Nabilla. Begitu benci Puan Mariam pada Hanna. Bisik hati Nabilla.
“Mak cik,saya nak beritahu yang Hanna sekarang ni sedang tenat dekat hospital. Mak cik ni ibu jenis apa sanggup buat anak sendiri macam ni. Sampai hati mak cik.” Marah Nabilla. Separuh dari kemarahannya dihembur keluar. Baru puas hatinya.
Terseksa dirinya melihat Nabilla merana gara-gara ibu sendiri.
Panggilan terputus.
Nabilla puas. Asalkan Puan Mariam tahu keberadaan anak tunggalnya. Walaupun dikatakan kurang ajar,Nabilla tidak peduli.


Di rumah Puan Mariam.
Wanita 30 an itu terduduk selepas mendengar perkhabaran itu. Menitis jua air mata berharganya. Tertayang semula di depan mata segala yang dilakukan pada Hanna. Wajah kecil yang sedang menangis,suara yang menasihatinya,dan ketika dilemparnya selendang hijau itu ke tepi dinding.
Puan Mariam tersentak.
“Selendang.”
Terasa berat badannya untuk bangkit. Namun digagahi jua. Dipaksa kaki melangkah ke biliknya.
Puan Mariam mencari selendang hijau yang diberi Hanna,namun tidak ditemui.
Mungkin di biliknya. Bisik Puan Mariam sambil melangkah masuk ke bilik anak gadisnya.
Harum.
Dan sunyi.
Ungkapan pertama yang keluar tatkala Puan Mariam melangkah masuk ke bilik  Hanna.
Sudah sekian lama kakinya tidak melangkah ke bilik yang damai ini.
Kaki diheret gagah ke arah katil yang kelihatan kemas sekali. Kelihatan sebuah beg kertas yang terisi selendang hijau.
Digenggam erat selendang itu. Dicium. Dikucup lama. Sehinggakan basah selendang hijau itu. Puan Mariam menangis tersedu-sedu.
Ia menyesal.
Tersangat menyesal.
Puan Mariam malu untuk pergi ke hospital. Ia malu untuk menatap wajah anaknya serta keluarga Nabilla. Sudah terlalu banyak khilafnya pada Hanna.
“Betapa banyak salah mama pada Hanna. Bisakah Hanna ampunkan mama. Maafkan mama Hanna. Mama sayang Hanna.” Puan Mariam berkata dalam sendu yang tak sudah.
Dia tahu sudah terlambat.
Penyesalan yang sudah tiada guna.
Ia tertewas dengan nafsu. Ia lemah kerana manusia.


Di wad Mawar tempat Hanna ditahan.
Keadaannya semakin lemah.
Terlalu lemah untuk berkata-kata.
Nabilla gelisah menunggu kehadiran Puan Mariam. Sudah 3 jam berlalu. Masih belum kelihatan Puan Mariam di wad itu.
“Hanna,aku dah telefon mama kau. Kejap lagi dia mesti datang. Kau tunggu yea. Kau mesti kuat. Kan kau dah lama tak jumpa mama kau.” Nabilla menangis sambil mengenggam kuat tangan Hanna yang semakin lemah.
Hanna hanya terdiam. Mungkin terlalu penat untuk membalas setiap kata-kata Nabilla.
Doktor turut mengesahkan Hanna sedang dalam keadaan nazak sekarang. Dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan menerima segala kemungkinan yang akan terjadi.
Hanna semakin lemah.
Digenggam erat tangan yang masih hangat itu. Sehangat persahabatan mereka.
Nabilla terlalu sedih melihatkan keadaan Hanna yang semakin merana.
Hanna bertahan kerana masih berharap mamanya akan datang.
Diharapnya agar dapat menatap wajah itu buat kali terakhir sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Turun naik nafasnya menahan seksanya sakaratulmaut.
Perlahan-lahan Nabilla lafazkan lailahillah ke telinga Hanna.
Bibir pucat itu perlahan-lahan mengikut setiap bait kalimah itu.
“Aku rela kau pergi Hanna. Hati ini sudah tidak sanggup melihat kau terseksa. Aku relakan Hanna. Pergilah Hanna. Pergi buat selamanya. Kita akan jumpa di sana nanti. Kau tunggu aku dekat sana,yea Hanna.” Bisik hati Nabilla.
Tangisannya semakin kuat bila genggaman tangan Hanna semakin lemah.
Tubuh itu sudah kaku.
Hanna telah pergi. Sahabat aku telah tiada untuk selama-lamanya. Tiada lagi usik tawa daripada si nakal Hanna. Tiada lagi senyuman manis dari bibir merah itu. Semua sudah kaku. Nabilla dapat rasakan waktu juga turut berhenti. Tersentak seketika.
Proses menguruskan jenazah Hanna semuanya dilakukan oleh keluarga Nabilla.
Kematian Hanna telah dimaklumkan kepada Puan Mariam. Sekali lagi wanita itu dikejutkan dengan berita yang merentap kuat tangkal hatinya. Puan Mariam pengsan setelah diberitahu oleh ibu Nabilla tentang kepergian Hanna.
Setelah selesai segala urusan, jenazah Hanna yang sudah siap dikapan dibawa pulang ke rumah Puan Mariam untuk solat jenazah.
Nabilla turut serta bersama jenazah Hanna.


Dilihatnya Puan Mariam hanya temenung menatap raut wajah jernih yang sudah kaku itu.
Disentuh lembut wajah itu. Diusap dengan penuh kasih sayang sebagaimana ketika Hanna masih kecil.
Masih teringat wajah yang hangat itu. Tersenyum setiap kali pipinya montelnya disentuh.
Kini,semua hanya sia-sia. Wajah itu telah kaku. Tiada lagi senyuman yang terukir dibibir manis itu. Tiada lagi usik tawa,senyuman manis,jenaka dari puterinya itu.
“Hanna,maafkan mama. Mama salah. Ampunkan mama,Hanna.”
“Hanna bangun sayang. Tengok ni mama pakai selendang yang Hanna bagi. Bangunlah Hanna. Tengok mama ni. Hanna.” Jenazah Hanna digoncang supaya bangun.
Beberapa orang jiran Puan Mariam yang sedang membaca Yasin lekas bangun menenangkan Puan Mariam. Ditarik tubuh itu ke belakang sambil ditenangkan. Teresak-esak tangisannya bagaikan seorang anak kecil. Mungkin sukar untuk menerima kenyataan kepergian Hanna dan dibebani dosa-dosanya.



Puan Mariam hanya menatap dengan sayu tatkala tanah menutup kesemua wajah suci itu. Kini,tinggallah Hanna di sana. Keseorangan,kesepian.
Hujan renyai-renyai mengiringi kepergian Hanna. Mungkin alam juga bersedih dengan kepergian insan bertuah itu
Semua tetamu telah pulang. Hanya tinggal Puan Mariam dan Nabilla.
Nabilla menghulurkan sepucuk surat kepada Puan Mariam.
Disambut dengan pandangan yang hairan.
“Surat dari Nabilla. Sebelum Hanna pergi ia masih menunggu. Menunggu seseorang yang teramat penting dalam hidupnya. Walaupun di bibirnya ia menafikan, saya tahu Hanna sedang menunggu mak cik. Hanna nak beri surat ni pada mak cik,tapi tak kesampaian. Hanna memang seorang anak yang hebat. ” Nabilla merasa sangat puas meluahkan yang terpendam di dasar hati.
Walaupun berasa sangat kesal dengan sikap Puan Mariam, Nabilla sedar dia masih perlu menghormati wanita itu. Ibu kepada sahabatnya.
Nabilla berlalu meninggalkan Puan Mariam sendirian.
Surat itu dibuka perlahan-lahan dengan tangan yang terketar-ketar.
Air matanya menitis.
Puan Mariam kesal yang teramat.

Assalamualaikum mama sayang. Hanna doakan agar mama selalu sihat,diberi kelapangan waktu,ketenangan jiwa serta kesihatan yang berpanjangan. Mungkin ketika mama sedang membaca surat ini Hanna sudah tiada. Tidak mengapa mama. Mama jangan menangis. Hanna sedih tengok mama menangis.
Mama,
Jangan pernah sesekali menyalahkan diri mama atas segala yang terjadi. Semua ini telah tertulis sejak di lauh mahfuz lagi. Ini semua qada’ qadar Allah. Kita harus terima semua ini.
Mama, Hanna mohon jangan sesekali salahkan diri mama atas segala-galanya.
Mama perlu tahu yang Hanna langsung tidak membenci mama,tapi Hanna hanya benci akan sikap mama. Dan itulah yang Hanna usahakan. Mama,maafkan Hanna sebab tidak sempat melihat mama berubah. Bahkan Hanna gagal merubah mama.
Hanya satu impian Hanna. Hanna nak tengok mama macam dahulu. Hanna nak keluarga kita kembali seperti dulu.
Hanna tahu kesempatan itu sudah tiada. Mama,halalkan makan minum Hanna selama ini. Dari Hanna kecil sehinggalah Hanna pergi. Mama jangan sedih. Hanna sayang mama dunia akhirat .Kita jumpa di syurga nanti. InsyaAllah.
Assalamualaikum mama,sayang mama.

Payung ditangan sudah dilepaskan. Puan Mariam bermandikan air hujan. Ia terduduk di tepi kuburan Hanna.
Puan Mariam menangis tersedu sambil mengenggam kemas tanah merah yang basah itu.
“Maafkan mama Hanna. Mama salah. Kenapa Hanna mesti tinggalkan mama. Bagaimana untuk mama tebus semua ini?Hanna.” tangisan Puan Mariam mengejutkan seluruh alam yang sedang bersedih. Tersedu sedan wanita itu menangis sebelum melangkah pulang dengan berat hati.


“Hahahhaa...”
Lamunan Puan Mariam yang melewati dua tahun lepas terganggu. Dipandang ke arah suara kecil itu.
“Mama..tengok anak katak ni. Comelkan? Omelan sang anak kecil yang amat petah bercakap sambil berlari ke arah Puan Mariam.
Dipeluk,dicium anak kecil yang bernama Tasha itu.
Tangannya masih tidak lepas mengenggam erat anak katak. Barangkali sudah mati si kecil itu.


Aku 2 tahun lepas. Seorang ibu yang gagal. Segala penyesalan bersarang di dalam diri. Meskipun sudah lama,segala-galanya masih seperti baru. Masih hangat di kotak fikiran Puan Mariam.
Berbekalkan kecekalan dan ketabahan Hanna,Puan Mariam kuatkan diri untuk berubah. Ia mesti berubah demi Hanna,dirinya dan kerana Allah.
Dirinya semakin rajin mengikuti setiap kelas pengajian agama untuk menambah ilmu akhirat. 
Rumah agam itu pula dijadikan rumah anak-anak yatim. Agar terubat rindunya kepada Hanna. Dilepaskan segala kerinduan kepada anak-anak kecil itu.
Tidak ingin melihat anak-anak sesuci mereka terabai seperti mana Hanna suatu ketika dahulu,Puan Mariam nekad berbuat demikian dengan dibantu Nabilla. Dengan kehadiran anak-anak kecil,rumah agam itu sentiasa riuh dengan pelbagai kerenah.
Lantaran Hanna yang sangat suka akan kanak-kanak juga mendorong Puan Mariam melakukan semua ini. Dirasakan roh Hanna masih ada di rumah agam itu.
Rumah agam yang telah diubah menjadi rumah perlindungan anak-anak yatim diberi nama “Cinta Hati Mama”.
Cinta hati mama yang telah menyuburkan jiwa mama yang mati. Hanna tidak gagal mengubah mama. Hanna telah berjaya. Bahkan bukan sahaja mama yang merasai kehangatan cinta Hanna,malah semua yang mengenali diri Hanna turut merasainya. Pergi Hanna bukan sendiri. Hanna turut membawa doa-doa orang yang selalu mendoakan kebaikan buat diri Hanna.
Segala kebaikan yang pernah Hanna hulurkan mana mungkin dapat mereka nafikan. Ternyata cinta hati mama ini akan sentiasa subur di dalam jiwa setiap insan yang bernyawa.



Share:

0 comments